Wednesday, 27 June 2012

Bila marah buat apa?




Perasaan marah, satu perasaan yang kita tidak dapat lari daripadanya. Marah datang tanpa diduga. Yang penting adalah bagaimana kita mengawal dan menghadapi marah. Sekiranya kita tidak tahu caranya, banyak kesan negatif yang akan berlaku. 

Akibat daripada kita tidak mampu mengawalnya, mungkin orang yang tidak bersalah pula menerima gelombang marah itu, terutamanya orang yang berada hampir dengan kita, mungkin isteri atau suami tersayang, mungkin anak tersayang, mungkin adik-beradik atau rakan-rakan. Mereka juga mungkin menyalah tafsir gelombang marah tersebut.

Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong (ego). Lagi  besar ego seseorang lagi besar marahnya. Ini  berkaitan pula dengan kedudukan seseorang. Kalau tinggi kedudukan seseorang, besar pangkatnya, banyak hartanya, ramai pengikutnya, maka akan tinggilah ego seseorang dan akan menjadi-jadilah pemarahnya. Sebaliknya jikalau kurang segalanya, maka akan kuranglah egonya dan akan kurang jugalah pemarahnya.

Menghilangkan marah:

1. Mula- mula kita perlu malu dengan  Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab kita.

2. Bila datang rasa hendak marah, ingatlah kita ini hanyalah manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang anda marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

6. Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz (A'uzubillahi minas Syaitanirrajim) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu kerana wudhu dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jikalau tidak boleh hilang marah dengan hal tersebut di atas, hendaklah tidur.  Kerana ianya akan  meredakan perasaan marah apabila bangkit daripada tidur.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu  itu  datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah.

Kalau kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan,  juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan kasih sayang.

"(Termasuk kalangan orang yang bertaqwa ialah) orang yang menafkahkan harta mereka semasa senang dan susah, orang yang sabar menahan marah dan orang yang memaafkan ke salahan manusia. Dan Allah menyukai orang yang berbuat baik." [Ali Imran : 134]

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...