Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin.
Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad S.A.W. Pada hari itu kepada
sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki
mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan
pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T.
pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa
yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat.
Amalan Sunat Hari Jumaat
Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi,
kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai
Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong
rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi.
Sesudah itu bersegeralah ke masjid.. Sabda Rasulullah S.A.W.
: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk
sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan
orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang
masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing
dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat maka seolah-olah ia berkorban
dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia
berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar
ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka
berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah."
Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf
pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan
melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang
sembahyang.
Solat Sunat dan Bacaan Surah Pilihan
Kerjakanlah sembahyang tahiyatul masjid dan yang paling
afdhal hendaklah menunaikan sembahyang itu empat rakaat dengan membaca setiap
rakaat sesudah Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam
sebuah hadis dinayatakan: "Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak
akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga."
Jangan tingggalkan sembahyang tahiyatul masjid sekalipun imam
sedang berkhutbah. Di dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca
dalam keempat-empat rakaat sembahyang itu dengan surah Al-Anaam, Al-Kahfi atau
Yasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif
Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah
itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.
Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan
membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar
hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin
kemudian perhatikan khutbahnya.. Apabila selesai dari sembahyang Jumaat, maka
bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah
Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab
Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).
Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu
Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.
Kemudian beradalah di masjid hingga waktu Asar atau sampai
Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu
sepanjang hari Jumaat.


No comments:
Post a Comment